HARI SUKAN HBP 2026 SUNTIK SEMANGAT, KECEMERLANGAN DAN PERPADUAN
USM PULAU PINANG, 16 Jun 2026 – Hari Sukan HBP 2026 yang bertemakan 'Stronger Together' telah berlangsung dengan jayanya dalam suasana penuh meriah dan bersemangat di Kompleks Sukan Azman Hashim, Universiti Sains Malaysia (USM).
Program tersebut menghimpunkan para pelajar, staf akademik, staf sokongan, alumni serta seluruh warga Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP) USM dalam satu acara yang meraikan semangat kesukanan, gaya hidup sihat dan pengukuhan hubungan komuniti.
Hari Sukan HBP 2026 dianjurkan bersama oleh Majlis Perwakilan Pelajar HBP (MPP HBP) dan Persatuan Pelajar Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBPA).
Program ini bertujuan memupuk semangat kerja berpasukan, kesukanan dan perpaduan dalam kalangan warga HBP melalui penyertaan aktif dalam pelbagai aktiviti sukan serta pertandingan secara sihat.
Tiga acara utama dipertandingkan sepanjang program berlangsung iaitu badminton, futsal dan dodgeball yang berjaya menarik penyertaan memberangsangkan daripada pelbagai kategori peserta.
Pertandingan tersebut bukan sahaja mengetengahkan bakat kesukanan para peserta, malah berjaya memupuk semangat setiakawan, saling menghormati serta rasa kebersamaan dalam kalangan warga HBP.
Pengarah Projek Hari Sukan HBP 2026, Nur Shafika Dul Hanan berkata, program tersebut bukan sekadar sebuah pertandingan untuk merebut kemenangan.
"Sebaliknya, ia menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan antara pelajar, staf akademik dan staf sokongan di HBP.
"Kejayaan sesebuah pasukan bukan hanya diukur melalui kemenangan, malah turut dinilai berdasarkan semangat kerja berpasukan, disiplin dan sikap saling menghormati yang dipamerkan sepanjang pertandingan," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan HBP, Majlis Perwakilan Pelajar USM, para peserta, pengadil serta seluruh jawatankuasa penganjur atas komitmen dan kerjasama yang diberikan sehingga program tersebut berjaya dilaksanakan.
Sementara itu, Dekan HBP, Profesor Madya Sr. Ts. Dr. Md Azree Othuman Mydin menyifatkan Hari Sukan HBP 2026 sebagai satu inisiatif penting yang mencerminkan komitmen HBP dalam melahirkan mahasiswa yang holistik serta memperkukuh kesejahteraan komuniti.
"Hari Sukan HBP bukan sekadar sebuah acara sukan, malah merupakan platform yang menyatukan pelajar, staf dan alumni dalam semangat perpaduan, persahabatan serta saling menyokong antara satu sama lain.
"Program seperti ini memainkan peranan penting dalam melahirkan graduan yang seimbang, bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki ciri kepimpinan, semangat kerja berpasukan, daya tahan serta pembangunan sahsiah diri," katanya.
Beliau menambah bahawa sambutan dan penyertaan yang amat menggalakkan pada hari tersebut jelas memperlihatkan semangat kekitaan serta perpaduan yang kukuh dalam keluarga besar HBP.
"Selain itu, penganjuran Hari Sukan HBP 2026 adalah selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang holistik melalui kecemerlangan dalam akademik, kepimpinan, kesihatan fizikal dan pembangunan sahsiah menerusi penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum serta kesukanan," jelas beliau.
Program tersebut diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa), Gs. Dr. Mohd Ismail Isa.
Teks Asal & Foto: Unit Media dan Publisiti, Hari Sukan HBP 2026
- Created on .
- Hits: 12