USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TERIMA PENGIKTIRAFAN PENUH MQA SEBAGAI PUSAT VERIFIKASI KUALITI MICRO-CREDENCIAL NEGARA

USM PULAU PINANG, 29 Julai 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pendidikan tinggi negara apabila menerima Kelulusan Penuh sebagai Pusat Verifikasi Kualiti (Quality Verification Centre, QVC) daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

USM menerima pengiktirafan penuh MQA sebagai Pusat Verifikasi Kualiti Micro-Credential Negara

Pengiktirafan ini membolehkan USM menjalankan penilaian dan verifikasi kualiti bagi Stand-alone Micro-credential (SAMC) untuk Tahap Sijil (MQF Tahap 3) hingga Ijazah Kedoktoran (MQF Tahap 8).

Kelulusan tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Pembelajaran Sepanjang Hayat MQA pada 3 Julai 2026, sekali gus mengiktiraf keupayaan USM dalam memastikan penawaran micro-credential memenuhi standard jaminan kualiti kebangsaan.

Pencapaian ini merupakan satu lagi kejayaan strategik buat USM dalam memperkasakan agenda Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) serta menyokong usaha negara memperluaskan akses kepada pendidikan yang fleksibel, berkualiti dan diiktiraf.

Dr. Nik Hadiyan Nik Azman, Koordinator Pusat Pengesahan Kualiti (QVC) USM, berkata pengiktirafan tersebut membuktikan kepercayaan MQA terhadap keupayaan USM dalam membangunkan ekosistem micro-credential yang berteraskan kualiti, tadbir urus yang baik dan penambahbaikan berterusan.

"Kelulusan penuh ini merupakan satu pengiktirafan besar kepada Universiti Sains Malaysia. Ia mencerminkan komitmen warga USM dalam memastikan setiap program Stand-alone Micro-credential yang dinilai memenuhi standard kualiti yang ditetapkan oleh MQA.

"Pengiktirafan ini juga mengukuhkan peranan USM sebagai peneraju dalam pembangunan dan verifikasi mikro-credentials di Malaysia," katanya.

Beliau berkata, melalui QVC, USM bersedia memperluaskan kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi awam dan swasta, agensi kerajaan, industri serta penyedia latihan bagi memperkukuh budaya pembelajaran sepanjang hayat dan mempercepat pembangunan modal insan yang berdaya saing.

QVC USM ditubuhkan sebagai pusat yang bertanggungjawab menjalankan penilaian dan verifikasi kualiti bagi program Stand-alone Micro-credential mengikut garis panduan MQA. Sejak penubuhannya, QVC USM telah menjadi antara peneraju dalam memperkasakan amalan jaminan kualiti mikro-kredensial di Malaysia melalui pembangunan dasar, latihan, khidmat rundingan dan penilaian kepada pelbagai institusi.

Kelulusan penuh ini turut memberi pengiktirafan kepada keupayaan USM untuk menjadi rakan strategik kepada institusi pendidikan tinggi dalam memastikan setiap program micro-credential memenuhi piawaian nasional, seterusnya meningkatkan keyakinan industri dan masyarakat terhadap kelayakan yang ditawarkan.

Pelantikan QVC USM adalah berkuat kuasa selama lima tahun, bermula 3 Julai 2026, tertakluk kepada syarat dan pemantauan berterusan oleh MQA.

  • Created on .
  • Hits: 236

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025