USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM@KL OPEN DAY BUKA LEMBARAN BAHARU PELAJAR PASCA SISWAZAH

KUALA LUMPUR, 3 Julai 2026 – Seorang bakal pelajar telah memulakan lembaran baharu dalam perjalanan akademik dan profesionalnya apabila menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian pasca siswazah di bawah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (Graduate School of Business, GSB) semasa USM@KL Open Day yang berlangsung hari ini.

Irdina Iwana Hazree Iruan, 25, yang akan mengikuti program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), telah menerima surat tawaran terus daripada Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, yang berada di USM@KL.  

Irdina meluahkan rasa teruja dengan penawaran tersebut, berkata, “Saya yakin USM mampu menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif untuk perkembangan diri saya dari segi akademik dan profesional.”

“Melanjutkan pengajian di sini adalah satu pelaburan masa depan yang terbaik untuk saya, dan saya yakin ia akan melengkapkan saya dengan ilmu, kemahiran serta pendedahan yang diperlukan untuk mencapai matlamat kerjaya saya,” katanya.

USM@KL Open Day yang berlangsung di USM@KL, MoF Inc. Tower, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur turut menerima kunjungan orang ramai khususnya bakal pelajar, golongan profesional, dan pengamal industri.

Mereka berpeluang berjumpa dengan pensyarah, meneroka program pasca siswazah yang ditawarkan, memahami struktur pengajian, serta memperoleh maklumat tentang peluang penyelidikan, laluan kerjaya, dan pilihan pembelajaran yang fleksibel.

Inisiatif itu juga mencerminkan komitmen USM@KL dalam menyediakan pendidikan pasca siswazah yang mudah diakses dan memenuhi keperluan industri menerusi interaksi secara langsung dengan tenaga akademik, mendapatkan maklumat lengkap mengenai program pengajian, dan menjalani proses kemasukan di lokasi.

Antara program yang diperkenalkan termasuk Sarjana Pengurusan Profesional, Sarjana Analitik Perniagaan, Sarjana Pentadbiran Awam, Sarjana Komunikasi dalam Komunikasi Bersepadu, Sarjana Reka Bentuk dalam Industri Kreatif, dan Sarjana Neurosains Kognitif.

Melalui inisiatif seperti Open Day, USM@KL terus memperkukuh akses kepada pendidikan pasca siswazah berkualiti, menyokong pembelajaran sepanjang hayat, serta melahirkan graduan dengan ilmu, kepimpinan, dan kompetensi profesional untuk berjaya dalam dunia yang semakin dinamik dan mencabar.

Teks Asal: Theva Sarma Gopala Krishnan/Terjemahan: Tan Ewe Hoe/Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq

 

  • Created on .
  • Hits: 272

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025