USM–INDUSTRI PEROLEH GERAN PPRN UNTUK INOVASI ROV TANPA WAYAR BAGI OPERASI BAWAH LAUT
KUALA LUMPUR, 9 April 2026 — Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Beyond Horizon Technologies Sdn. Bhd. berjaya meraih pengiktirafan di Persidangan Public-Private Research Network (PPRN) 2026 hasil inovasi teknologi maritim terkini.
Kerjasama ini membuktikan bagaimana gabungan kepakaran akademia dan industri mampu melahirkan penyelesaian baharu dalam operasi bawah laut, khususnya sistem pemeriksaan tanpa wayar.
Projek ini diketuai oleh Profesor Madya Dr. Wan Mohd Yusof Rahiman Wan Abdul Aziz dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM.
Fokus utama adalah membangunkan semula sistem Remote Operated Vehicle (ROV) konvensional berwayar kepada versi tanpa wayar.
Dengan sokongan geran PPRN bernilai RM64,000, penyelidikan ini menekankan aspek kebolehpercayaan komunikasi, keanjalan operasi, dan kecekapan pelaksanaan dalam pemeriksaan bawah laut.
Dari sudut industri, inovasi ini membuka peluang kepada Beyond Horizon Technologies Sdn. Bhd. untuk mengatasi kekangan operasi ROV tradisional.
Sistem berwayar sedia ada sering terhad dari segi jarak operasi dan kualiti isyarat, terutama dalam persekitaran laut yang penuh gangguan.
Kelemahan ini biasanya menyebabkan ketepatan pemeriksaan berkurang, risiko operasi meningkat, dan kos misi bertambah.
Sistem baharu ini memperkenalkan rangka kerja komunikasi tanpa wayar yang dibantu oleh Unmanned Surface Vehicle (USV).
Dengan sokongan dari permukaan, ia membolehkan arahan masa nyata lebih lancar, pertukaran data lebih stabil, dan hasil pemeriksaan lebih konsisten.
Keupayaan ini amat penting untuk aplikasi seperti pemantauan infrastruktur luar pesisir, penilaian aset marin, dan kajian alam sekitar.
Selain aspek teknikal, sistem tanpa wayar ini juga menjimatkan kos operasi. Ia mengurangkan kebergantungan kepada kapal sokongan besar dan tenaga kerja ramai, sekali gus mempercepatkan pelaksanaan misi serta mengurangkan gangguan jadual.
Manfaat ini menjadikan teknologi tersebut lebih mudah diskalakan dan berdaya saing secara komersial, terutama untuk syarikat kecil dan sederhana yang memerlukan pemeriksaan berprestasi tinggi dengan kos efektif.
Secara keseluruhan, inisiatif ini mencerminkan model penyelidikan translasi yang matang — daripada konsep akademik kepada aplikasi industri.
Ia selaras dengan agenda negara untuk memperkukuh teknologi maritim, menyokong penerimaan Industri 4.0, dan mempercepatkan pendigitalan sektor kritikal.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, menegaskan bahawa inovasi ini bukan sekadar pencapaian teknikal, tetapi juga satu langkah penting dalam konteks kejuruteraan dan sistem global.
Beliau berkata: “Apabila operasi bawah laut semakin kompleks dan memerlukan data yang besar, sistem berwayar tradisional tidak lagi mencukupi. Hasil kerja ini menunjukkan keperluan beralih kepada rangkaian tanpa wayar yang lebih teragih, mampu meningkatkan ketahanan sistem, memperluas capaian operasi, dan menyediakan kecerdasan masa nyata dalam persekitaran yang mencabar.”
Beliau turut menekankan peranan universiti penyelidikan dalam membina ekosistem teknologi berimpak tinggi: “Apabila teknologi dan industri bergerak pantas menuju titik pertemuan, universiti penyelidikan perlu merapatkan jurang antara teori dan aplikasi.”
Beliau menambah, “Usaha ini membuktikan bagaimana penyelidikan kejuruteraan yang berasaskan keperluan sebenar boleh menghasilkan inovasi berimpak tinggi dengan nilai antarabangsa.”
Projek ini bukan sahaja menangani kelemahan sistem berwayar, tetapi juga membantu mengurangkan kos pemeriksaan bawah laut.
Ia mengukuhkan keupayaan operasi rakan industri dan menonjolkan nilai strategik platform kolaboratif seperti PPRN, yang terbukti berkesan dalam memacu inovasi lestari dan berimpak tinggi.
Sumber & Foto: Profesor Madya Dr. Wan Mohd Yusof Rahiman Wan Abdul Aziz, Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM/Teks Asal: Privinkumar Jayavanan, Pusat Media & Perhubungan Awam (MPRC), USM/Terjemahan: Mazlan Hanafi Basharudin & Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 38